Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia (UN Malaysia) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam memajukan Hak Asasi Manusia dan mengukuhkan pelaksanaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Puan Penyelaras Residen PBB untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Karima El Korri dan Pengerusi SUHAKAM, Prof. Dato’ Dr. Rahmat Mohamad.
Ketika berucap, Puan Karima El Korri menyatakan “MoU ini menandakan satu kejayaan baharu dalam kerjasama antara PBB dan SUHAKAM, dengan mengkodifikasikan hubungan kerjasama antara agensi-agensi PBB dan SUHAKAM. Ia amat tepat pada masanya seiring pelantikan Pesuruhjaya yang baharu, dan saya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi SUHAKAM Prof. Dato’ Dr. Rahmat atas komitmen beliau dalam menjayakan perkara ini”.
MoU tersebut merupakan langkah penting ke arah meningkatkan kerjasama antara PBB dan SUHAKAM. Kedua-dua organisasi bersetuju untuk bekerjasama dan mengukuhkan pertukaran maklumat dalam enam bidang utama antaranya:
- Penglibatan Malaysia dengan mekanisme hak asasi manusia PBB;
- Promosi dan pendidikan hak asasi manusia;
- Advokasi hak asasi manusia;
- Pertukaran maklumat dalam bidang kepentingan bersama;
- Perlindungan pembela hak asasi manusia; dan
- Memperkukuh ketersediaan data hak asasi manusia yang berkaitan dengan SDG.
Prof. Dato’ Dr. Rahmat menambah, “SUHAKAM dan PBB di Malaysia mempunyai peranan khusus yang saling melengkapi dalam menyokong Kerajaan Malaysia untuk merancang dan melaksanakan strategi yang berkesan, ke arah memajukan hak asasi manusia dan memenuhi matlamat yang mampan untuk semua di Malaysia”.
Kedua-dua organisasi akan bekerjasama untuk memberi tumpuan kepada hak asasi manusia di Malaysia dan menyokong penyertaan negara dalam mekanisme hak asasi manusia antarabangsa. Ini termasuk Penilaian Berkala Sejagat (UPR), ratifikasi atau penyertaan dalam triti hak asasi manusia, lawatan Pelapor Khas PBB, dan pelaksanaan syor mekanisme hak asasi manusia; dan menggalakkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Di samping itu, MoU ini bertujuan untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan, menganjurkan aktiviti untuk memperingati hari antarabangsa yang berkaitan dengan hak asasi manusia, meningkatkan kesedaran sivik dalam melindungi dan mempromosi hak asasi manusia, dan menyokong ketersediaan dan pengukuhan data hak asasi manusia yang berkaitan dengan pelaksanaan SDG di Malaysia.
Majlis menandatangani perjanjian itu telah dihadiri oleh wakil dari agensi PBB dan Pesuruhjaya SUHAKAM.
-TAMAT-
Pertanyaan media:
Ahmad Hafiz Osman, Ketua Komunikasi Penyelaras Residen untuk Malaysia, Singapore dan Brunei Darussalam
ahmad.hafiz@un.org / 0123021234
Norashikin Hamzah, Ketua Penolong Setiausaha, Bhgn. Media dan Promosi, SUHAKAM
shikin@suhakam.org.my / 03-2612 5687 / 0196215336